KUALA LUMPUR, 30 Sept – Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 pada November ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, mesyuarat khas berkenaan transformasi Parlimen yang dipengerusikan beliau telah diadakan di Blok Utama Parlimen Malaysia, pada Khamis.

“Dalam mesyuarat tersebut dimaklumkan proses Transformasi Parlimen pada ketika ini sedang berjalan lancar. Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang menyediakan Draf RUU Perkhidmatan Parlimen yang dipantau oleh Jawatankuasa Transformasi Parlimen dari semasa ke semasa.

“RUU Perkhidmatan Parlimen yang disediakan termasuk Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Pengarah BHEUU, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Syukor Mahmood dan pegawainya serta wakil Jabatan Peguam Negara.