KUALA LUMPUR, 30 Sept – Sabah berharap hubungan dua hala dengan Brunei terus dipertingkatkan selepas pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata beliau optimis bahawa kerjasama dalam pelbagai sektor terutama perdagangan akan terus berkembang berdasarkan peningkatan perdagangan Sabah dengan Brunei yang lebih empat kali ganda daripada RM311.7 juta pada 2017 kepada RM1.48 bilion pada Ogos tahun ini.

“Sabah sentiasa mementingkan hubungan dengan Brunei,” katanya dalam kenyataan selepas menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Khamis.

Ketua Menteri berkata Sabah juga mengalu-alukan pelancong dari Brunei, yang berkembang selepas pembukaan semula sempadan dengan penerbangan pertama syarikat penerbangan Royal Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 Mei tahun ini.

“Susulan pembukaan semula sempadan, rakyat Brunei turut melalui jalan darat untuk ke Sabah bermula 1 Ogos lepas. Sebanyak 78,605 rakyat Brunei melawat Sabah pada 2019 namun merosot kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan,” katanya.

Pada pertemuan itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah turut berkongsi dengan Sultan Hassanal Bolkiah pencapaian pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju yang dilaksanakan kerajaan Sabah.

“Sejak Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) mengambil alih tampuk pimpinan negeri dua tahun lepas, Sabah mencatatkan pendapatan RM5.449 bilion pada 2021,” katanya.

Menurut beliau, Sabah juga telah mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Januari hingga September tahun ini.

Hajiji dalam lawatan sehari ke Brunei, iaitu yang pertama sejak dilantik sebagai Ketua Menteri, turut menyampaikan jemputan kepada Sultan Hassanal Bolkiah untuk lawatan timbal balas ke negeri di Bawah Bayu.