KUALA LUMPUR, 1 Okt – Seramai 13 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, diselamatkan dan sudah pulang ke tanah air semalam menerusi penerbangan Air Asia AK535.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sehingga kini, seramai 261 mangsa berjaya diselamatkan.

“Setakat ini seramai 171 orang sudah dibawa pulang ke Malaysia manakala 90 orang sedang menunggu proses penghantaran pulang,” katanya.

Kenyataan itu berkata, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 September lalu, satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh KLN ditubuhkan bagi menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh.

Katanya, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara dalam talian pada 27 September lalu.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Antara cadangan dan tindakan yang sudah dan akan diambil hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas adalah KLN sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan negara yang terbabit pada 30 September lalu.

“Pertemuan ini bertujuan memaklumkan pendirian Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu ini.

“Di samping itu pertemuan ini adalah usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan kerjasama negara yang terbabit dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya.

Selain itu katanya, ketua perwakilan asing yang berkenaan menyatakan komitmen kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.

Pada masa sama, katanya ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand sudah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu itu secara cepat dan tuntas.

“Selain itu, KLN dan PDRM sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih rapat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.

“KLN juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak K-KOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini.

“Pihak KLN dan Perwakilan Malaysia di negara yang terbabit akan terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama rapat dengan negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang rakyat

Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“KLN sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya.