GUA MUSANG, 1 Okt – Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa kedua akan bermula pada pertengahan bulan ini membabitkan 110 lokaliti di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penyertaan seramai kira-kira 10,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar adalah inisiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Hasil daripada pengalaman melaksanakan BMTKM Fasa 1 akan digunakan untuk menambah baik setiap aspek bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Penglibatan lebih aktif daripada sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amatlah dialu-alukan, terutama melalui inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah di sini hari ini.

Mustapa berkata kerajaan sentiasa komited dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan supaya usaha membangunkan masyarakat inklusif serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri dapat dicapai.

“Berdasarkan statistik bank data kemiskinan nasional, sejumlah 130,709 KIR miskin tegar direkodkan di seluruh negara hingga 15 September tahun ini.

“Oleh itu, kerajaan menyeru semua pihak untuk tampil bagi bersama-sama menjayakan matlamat ini dengan mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara yang akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun enam bulan,” katanya.

Mengenai lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah, Mustapa berkata dua projek di lokaliti tersebut telah diperakukan untuk pelaksanaan melibatkan 35 KIR dengan kos berjumlah RM415,995.

“Projek yang dikenal pasti ialah tanaman serai, halia serta cendawan tiram kelabu dan kesemua peserta ini telah menandatangani aku janji sebagai komitmen mereka untuk memanfaatkan bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini pelaksanaan projek BMTKM Fasa 1 telah melibatkan 70 lokaliti di seluruh negara dengan membabitkan 1,536 KIR dengan kos berjumlah kira-kira RM17.2 juta.