IPOH, 1 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang mengadakan karnival berskala mega khusus bagi mempromosi barangan buatan tempatan bermula tahun depan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata karnival berkenaan disasarkan menyamai skala seperti Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang dianjurkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Beliau berkata, karnival berkenaan disasar dapat mengumpulkan semua barangan tempatan berbentuk pameran pusat sehenti merangkumi pelbagai segmen termasuk perabot, pakaian, fesyen serta gaya hidup, batik, automotif, produk kesihatan kosmetik, barangan penjagaan diri, kraftangan, hingga ke barangan makanan serta produk halal.

Beliau berkata, bagi memantapkan pengisian karnival mega itu kelak, ia terkandung pengisian bagi memartabatkan barangan dan perkhidmatan hasil tempatan, merangkumi persembahan serta pameran yang dapat mengangkat kualiti produk tempatan seperti pertunjukan fesyen, pertunjukan permotoran, pertandingan memasak dan sebagainya.

“Saya yakin KPDNHEP mampu buat dan apa yang kita hendak laksanakan bukan sekadar pameran, malah mungkin ada pihak mempunyai kewangan (kukuh) yang berminat membeli barangan itu.

“Untuk lokasi penganjurannya, kita merancang mungkin diadakan di MAEPS seperti penganjuran MAHA disebabkan kemudahan fasiliti sedia ada di sana,” katanya selepas merasmikan Karnival Barangan Malaysia (KBM) Inisiatif Terbaru Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di perkarangan pasar raya Mydin Mall Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengerusi jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Mengenai karnival KBM yang berlangsung semalam hingga esok, Rosol berkata, ia inisiatif terbaru kerajaan melalui KPDNHEP di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 dengan penganjuran bagi siri kedua akan berlangsung di perkarangan Plaza Angsana, Johor Bharu pada 14 hingga 16 Oktober ini.

Rosol berkata, penganjuran karnival berskala mega itu kelak dijangka mampu mengangkat martabat fungsi dan impak KBBM kepada tahap lebih tinggi sejak mula diperkenalkan kira-kira 11 tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan nilai penjualan barangan tempatan berjumlah RM7.28 bilion sepanjang tahun ini iaitu kadar melebihi dua kali ganda berbanding nilai penjualan sepanjang tahun 2020 dan 2021 yang masing-masing mencatatkan RM3.3 bilion dan RM3.08 bilion.

Katanya, sasaran itu diyakini mampu dicapai melihat kepada kadar tukaran mata wang asing masa kini yang menyaksikan ringgit Malaysia berada pada paras terendah, justeru menyebabkan rakyat berbelanja dalam negara sekali gus mengutamakan produk tempatan.

Sementara itu, Rosol berkata, KPDNHEP menerima maklumat dan laporan mengenai situasi bekalan telur ayam sukar diperoleh di Terengganu kebelakangan ini hingga menyebabkan peniaga terpaksa ‘mencatu’ telur untuk dijual kepada pelanggan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada pengusaha tempatan, kekurangan bekalan itu berkaitan dengan nilai ringgit yang berada di paras terendah pada masa ini.

“Pengusaha telur mengadu kenaikan nilai dollar Amerika Syarikat menjadikan mereka tidak mampu mengeluarkan telur. Jadi mereka memohon kerajaan memikirkan cara menambah lagi subsidi.

“Hari ini subsidi mungkin tiga sen untuk sebiji telur, mungkin boleh naik kepada tujuh sen sebiji atau jika tidak negara akan berterusan dilanda masalah kekurangan telur.

“Namun setakat ini, kekurangan telur masih terkawal dan diharapkan ia ya tidak menjadi serius,” katanya.