ALOR SETAR, 1 Okt – Rakyat Malaysia digesa bersama dalam mendesak dan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata ini kerana ia akan menambah lagi derita rakyat terutama sekali rakyat akan berdepan dengan bencana alam, pada pertengahan November dan Disember tahun ini.

“Apa yang menyedihkan kita sebagai rakyat Malaysia, ini adalah waktu rakyat tengah susah, rakyat dibebani dengan kenaikan harga barang, rakyat hilang pekerjaan selepas kita melalui tempoh genting pandemik Covid-19.

“Sepatutnya, tumpuan diberikan untuk mengangkat ekonomi dan martabat rakyat.

“Bukan hanya tergila-gilakan kuasa, yang mahu berkuasa tanpa memikirkan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.

Katanya, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata rakyat perlu tolak parti yang meletakkan agenda peribadi di depan.

Ini kerana, katanya, fokus sepatutnya kepada penyelesaian agenda masalah rakyat.

“Angkat pemimpin yang boleh mengangkat martabat rakyat, aspirasi rakyat, serta mempertahankan dan membela ekonomi rakyat.

“Tolak pemimpin yang gila kuasa,” katanya.