PUTRAJAYA, 1 Okt – Pengurusan sekolah di seluruh negara perlu merujuk kepada polis terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang notis atau surat peringatan membabitkan kejadian culik di sekolah masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata ia bagi mengelak berlaku kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat kawasan sekitar, bukan saja yang berada di depan sekolah terbabit.

Menyifatkan ia sebagai tindakan yang berniat baik, Radzi berkata, notis atau surat sedemikian juga boleh menimbulkan kerisauan termasuk di kawasan yang berada jauh dari sekolah.

“Ada sekolah mengeluarkan notis peringatan mengenai kes culik. Ada sesetengah keadaan kita dapati peringatan itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa.

“Niat sekolah mungkin baik untuk mengingatkan ibu bapa, tetapi pada masa sama ia menimbulkan kerisauan.

“Sebab itu kita sudah mengingatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, supaya ingatkan sekolah bahawa sebelum keluar sebarang notis, ia perlu dirujuk kepada polis dulu, khususnya berkaitan keselamatan dalam kawasan sekitar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.

Rabu lalu, polis menerima dua laporan polis berhubung penularan satu surat makluman kepada ibu bapa dikeluarkan sebuah sekolah rendah di Batu Caves, Selangor, berhubung risiko kejadian culik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam kenyataan, berkata laporan dibuat ibu bapa murid sekolah berkenaan dan sebuah sekolah lain dalam daerah itu.

Radzi berkata, peringatan mengenai keselamatan di sekolah dan di luar sekolah memang sering dibuat guru di sekolah masing-masing sepanjang tahun.

Beliau berkata, ia termasuk mengingatkan murid untuk tidak mudah bercakap dengan orang asing di luar sekolah atau sewaktu melintas jalan, namun peringatan bertulis menimbulkan kerisauan.

Sementara itu, Radzi berkata, KPM kini memberi tumpuan kepada pembinaan sekolah di kawasan padat bagi memastikan bilangan murid dalam kelas tidak terlalu sesak.

Beliau berkata, ketika ini ada beberapa kawasan di Selangor termasuk Hulu Langat, Shah Alam dan Klang serta di Johor yang dikesan mengalami pertambahan populasi penduduk yang pesat serta memerlukan kemudahan sekolah yang mendesak.

Katanya, sekolah baharu ini juga akan dilengkapi kemudahan untuk pendidikan khas bagi memastikan murid memerlukannya tidak perlu ke sekolah lain yang lebih jauh dari kediaman masing-masing.

Mengulas pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 berkeluasan 5.9 hektar yang dianggarkan bernilai RM121 juta dan dijangka siap pada Ogos 2025, beliau berkata, ia adalah kompleks pertama untuk penduduk di Presint 15 yang tiada sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Dengan pembinaan kompleks ini yang mengandungi 36 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 kelas bagi sekolah menengah, ia tentunya akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar,” katanya.