KUALA LUMPUR, 2 Okt – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyarankan rakyat memilih pemimpin bebas rasuah dalam usaha membaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, kejatuhan CPI dari tangga ke-57 pada 2020 ke tangga ke-62 pada 2021 dilihat begitu teruk dan turut menjangkakan indeks itu akan terkesan tahun ini.

“Indeks persepsi rasuah, pada 2020 kita di tangga 57 dan jatuh ke tangga 62 pada 2021… ini teruk sangat. Tahun ini saya tidak tahulah, pelbagai masalah yang timbul, masalah rasuah, persepsi dunia kepada kita.

“Jadi untuk kita kurangkan masalah CPI ini, ada rakan-rakan saya yang beritahu untuk adakan juga pilihan raya pada tahun ini… saya tak apa adakan pilihan raya, tetapi rakyat kena pilih pemimpin yang boleh memastikan CPI ini naik sekurang-kurangnya dalam lingkungan ‘Top 20’ dan beri ruang untuk memimpin negara,” katanya dalam program dialog awam Kita Demi Negara di Sabah yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan pemimpin berintegriti perlu dipilih dalam usaha mengecilkan angka CPI pada masa hadapan.

“Kita tidak mahu membesarkan angka ini tetapi mahu ia dikecilkan. Carilah pemimpin-pemimpin yang bukan sahaja boleh dilihat tetapi tidak boleh mempersoalkan integritinya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin Malaysia akan berada dalam kelompok 15 terbaik dunia dalam Indeks Keamanan Dunia pada tahun hadapan susulan peningkatan di tangga 18 pada tahun ini.

“Indeks Daya Saing Dunia pada tahun 2020 kita berada di tempat ke-27 dan pada 2021, di tangga ke-25. Bagi Indeks Bandar Selamat 2019 pula, kita di tangga ke-35 dan 32 pada 2021, malah kita jangka akan berada sekurang-kurangnya di tangga 20 terbaik dunia tidak lama lagi, hasil sistem penguatkuasaan yang kita ada,” katanya.

Hamzah berkata isu buli siber turut diberi perhatian oleh kementeriannya memandangkan Malaysia kini berada di tempat keenam di peringkat global dan kedua di Asia.

Beliau berkata, hasil kajian KDN, mendapati kes buli siber membabitkan 3R iaitu ‘race’ (kaum), ‘religion’ (agama) dan ‘royalty’ (raja).

“Kes buli siber meningkat daripada 4,433 kes pada 2016 kepada 11,367 kes sehingga Julai tahun ini dan dalam tempoh 2015 hingga Ogos tahun ini, kita merekodkan 178 kes membabitkan kaum, 328 (agama) dan 357 (raja),” katanya.