PUTRAJAYA, 2 Okt – Kerajaan perlu memfokuskan kesiapsiagaan dan bajet sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekiranya PRU15 berhadapan pada musim tengkujuh, kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dan pelaksana seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diutamakan supaya keanggotaannya mencukupi bagi menangani PRU15 dan musim banjir.

Katanya, kerajaan juga perlu meneliti bajet kerana enam negeri di bawah pemerintahan PAS dan Pakatan Harapan (PH) enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat yang memerlukan kos tinggi sekiranya diadakan semula pada tahun depan.

Katanya, perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan hanya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan semata-mata malah kepentingan rakyat perlu diutamakan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan perkara ini terlebih dahulu sebelum membubarkan kerajaan. Walau bagaimanapun, BERSATU sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU15,” katanya kepada pemberita selepas menyertai dan menyempurnakan Pelepasan KBS Trail Run ‘Love Nature for Out Future 2022 di Taman Cabaran di sini, hari ini.

Kejohanan bercirikan larian lasak ini memberikan cabaran kepada peserta yang mana 75 peratus larian adalah laluan denai membabitkan dua kategori iaitu dua kilometer (km) bagi keluarga dan 10km solo individu lelaki dan wanita.

Pada Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media, berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, PAS mengisytiharkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pemerintahan parti itu membabitkan Kedah, Terenganu dan Kelantan termasuk PH di tiga negeri membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata BERSATU dengan kerjasama rakan gabungan dalam Pakatan Nasional (PN) akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya dipilih meneraju kerajaan.