CYBERJAYA, 2 Okt – Seramai 21,368 pasangan berusia 30 tahun ke bawah didaftarkan bercerai pada usia perkahwinan kurang lima tahun pada 2020 berbanding 26,245 pasangan pada 2019.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, berkata jumlah itu masih membimbangkan bagi pasangan usia berkenaan yang mana ia memberi kesan kepada pengurangan penduduk di negara ini.

Katanya, untuk statistik keseluruhan membabitkan usia pasangan antara 20 hingga lebih 65 tahun pula, sejumlah 37,853 pasangan didaftarkan bercerai pada 2020 berbanding sejumlah 45,502 pasangan pada 2019.

“Situasi ini amat membimbangkan untuk LPPKN kerana ia akan memberi kesan pada masa hadapan dari segi sumber tenaga kerja dan ekonomi negara, di mana pada tahun 2100, negara menyasarkan seramai 70 juta penduduk.

“Tetapi ketika kini, kita hanya ada 32.7 juta penduduk dan dijangka pada tahun 2100, hanya 42 juta penduduk saja berjaya dicapai.

“Jadi apabila perkahwinan gagal diselamatkan, maka penambahan penduduk negara juga akan terkesan,” katanya ketika merasmikan Seminar Smart Start Second Honeymoon, anjuran LPPKN, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Seminar dihadiri kira-kira 50 pasangan itu bertujuan menyemarakkan rasa cinta antara pasangan suami isteri supaya hubungan perkahwinan itu dapat dimantapkan lagi.

Katanya, pandemik juga menjadi antara punca peningkatan perceraian di negara ini memandangkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada kursus perkahwinan dan majlis juga dijalankan secara dalam talian.

“Jadi LPPKN merasakan perlu ada kursus pemantapan untuk pasangan baru berkahwin dalam tempoh lima tahun pertama untuk memberi nilai tambah dalam membantu memantapkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan,” katanya.