SHAH ALAM, 2 Okt – Bagi pembubaran Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat jemaah Kabinet.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di mana jemaah menteri boleh menasihatkan Perdana Menteri untuk tujuan itu.

“Rujuk Perlembangaan dengan jelas menyatakan yang menasihat YDPA adalah jemaah menteri. Perdana Menteri pergi menghadap YDPA dengan mandat oleh jemaah menteri bukan mandat Presiden UMNO,” katanya ketika melancarkan Persidangan Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor hari ini.

Sebelum ini, pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhamad Fathi Yusof berkata, kuasa menasihatkan YDPA bagi membubarkan Parlimen dalam situasi biasa bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri secara individu tetapi secara kolektif melalui persetujuan Kabinet.

Ini kerana sistem pentadbiran negara berteraskan keputusan mengikut konsep kebertanggungjawaban bersama iaitu apa yang dilakukan seorang menteri dan perdana menteri itu sebenarnya adalah tindakan seluruh Kabinet secara kolektif.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15.

“Sekiranya PRU-15 diadakan esok, PN sudah bersedia. Kita mahu situasi itu diberikan pertimbangan atas situasi semasa. Jangan kamu tersedak kerana arahan kleptokrat,” katanya lagi.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu sepakat memutuskan pembubaran parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan di mana Ismail Sabri selaku Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh PRU-15 kepada YDPA.