KUALA TERENGGANU, 3 Okt – BERSATU masih terbuka bekerjasama dengan UMNO, jika PAS berjaya memujuk parti itu untuk meneruskan perpaduan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Razali Idris berkata BERSATU menyokong PAS untuk menjayakan gabungan pemimpin Melayu dan Islam sejak dahulu, bagaimanapun ditolak UMNO yang memberi pelbagai alasan, termasuk tidak mahu bekerjasama dengan parti itu.

“Kalau PAS berjaya pujuk UMNO terima BERSATU, kita meraikan kejayaan itu. Hakikatnya, UMNO sudah tolak secara jelas, tetapi kalau PAS masih hendak berusaha, kita biarkan…kalau berjaya baguslah.

“BERSATU tidak ada masalah untuk pertimbang kerjasama (dengan UMNO), PAS tak payah pujuk BERSATU, kita tiada masalah, agenda kita sama dengan PAS nak perpaduan ummah,” katanya, lapor FMT.

Beliau mengulas usaha PAS mahu menjayakan perpaduan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN), susulan pertemuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Sept lalu.

Pada 2 Okt lalu, Zahid yang mengesahkan pertemuan itu berkata, PAS perlu memenuhi tiga tuntutan, jika mahu kembali menjalin kerjasama politik, iaitu meninggalkan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan BERSATU serta mengumumkan secara rasmi mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan BERSATU.

Razali berkata, komitmen BERSATU mewujudkan perpaduan ummah sudah terbukti dengan menerima pelawaan menyertai MN, namun ia tidak berjaya direalisasikan susulan penolakan UMNO.

Beliau turut menepis dakwaan BERSATU cuba menghancurkan UMNO, termasuk mencuri ahlinya, yang dijadikan alasan oleh parti itu menolak kerjasama dengan pihaknya.

Katanya, tidak timbul isu ahli dan Ahli Parlimen UMNO dicuri BERSATU, sebaliknya ia dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan UMNO enggan bekerjasama dengan parti itu.

“Orang nak masuk, kita terbuka dan ahli BERSATU masuk UMNO ada juga, tapi kita tak tuduh UMNO curi ahli. Nak curi apa, semua ahli sudah matang,” katanya yang menyifatkan UMNO kembali kepada perangai asalnya apabila mendapat kuasa.

Mengulas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama PN, Razali berkata, ucapan presidennya itu rentetan tindakan UMNO menolak untuk kerjasama.

“UMNO dengan tegas menolak kita, sama ada dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO, mereka kata ‘no’ BERSATU, maka kita kata ‘no’ UMNO. Apa yang Muhyiddin cakap sebenarnya urutan daripada UMNO-BN menolak BERSATU untuk bekerjasama.

“Kalau orang tak mahu dengan kita, perlekeh kita, fitnah kita macam-macam, apakah kita nak terhegeh-hegeh bekerjasama (dengan mereka)?” soalnya.