KUALA LUMPUR, 3 Okt – Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia merekodkan prestasi yang memberangsangkan pada separuh pertama 2022 apabila pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM41.7 billion berbanding aliran masuk bersih RM48.1 bilion sepanjang 2021.

Menurutnya, perdagangan Malaysia mengekalkan trajektori peningkatan dengan eksport meningkat 48.2 peratus kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua digit 19 bulan berturut-turut sehingga Ogos ini, manakala nilai import juga melonjak sebanyak 67.6 peratus.

“Pertumbuhan perdagangan sebanyak 56.7 peratus adalah didorong daripada keuntungan sektor pembuatan, perlombongan dan pertanian,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Praxis 2022 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, pasaran buruh turut menunjukkan momentum yang positif dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus, iaitu hampir sama sebelum pandemik.

“Pada Julai, saiz tenaga buruh menyaksikan peningkatan berterusan dengan peningkatan 3.3 peratus dari tahun ke tahun,” tambahnya.