SHAH ALAM, 3 Okt – Perbezaan pandangan dan kritikan oleh pemimpin-pemimpin di dalam parti gabungan yang membentuk pentadbiran kerajaan hari ini, adalah perkara biasa.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sistem kerajaan gabungan telahpun diamalkan di banyak negara demokrasi yang lebih matang di mana semakin dekat pilihan raya semakin ketara perbezaan di kalangan parti yang duduk bersama dalam kerajaan.

“Kalau dilihat negara-negara demokrasi yang lebih matang yang amalkan sistem kerajaan gabungan seperti di Jerman, di UK, Australia, New Zealand. Apa yang berlaku adalah gabungan kerajaan dibentuk selepas pilihan raya.

“Kalau hari ini duduk sekali dalam kerajaan sekalipun, semasa berkempen dan menuju ke pilihan raya, mereka akan cuba tunjuk perbezaan walaupun sama-sama duduk dalam kerajaan.

“Ini perkara biasa, menteri-menteri pun tahu ini perkara biasa, sebab itu kita (kerajaan) boleh berfungsi macam biasa. Kita fokus memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

“Tetapi, ada di kalangan pemimpin UMNO yang cuma menimbulkan persoalan ini pun masih tidak tahu dan perlu lebih belajar,” katanya.

Beliau mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh sesetengah pemimpin UMNO yang cuba mengeruhkan keadaan berhubung ketidakstabilan politik dan pentadbiran negara dalam kerajaan gabungan.

Wan Saiful berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin di Majlis Perasmian Persidangan Bahagian-Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor, pada Ahad.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir, Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Wan Saiful kecewa dengan beberapa pemimpin UMNO yang dianggap intelektual, telah merendahkan martabat intelek mereka sehingga menjadi ‘macai’ kepada UMNO.

“Terutamanya sahabat saya, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan Suffian.

“Nak komen bagi pandailah sikit. Ini menurunkan status dia daripada mereka yang sepatutnya ada daya intelektual, jadi macai pula bila masuk UMNO,” katanya.