KUALA LUMPUR, 3 Okt – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memberitahu Datuk Seri Najib Razak boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat sekiranya mendapat kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

Untuk rekod, Najib kini bergelar banduan tetapi masih belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen (MP) Pekan walaupun sudah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Semasa sidang dewan hari ini, MP Sepang Hanipa Maidin bertanya berhubung kedudukan Najib yang dihukum penjara sama ada boleh dibawa hadir ke Dewan Rakyat dalam keadaan bergari.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Dia dibenarkan keluar dari penjara adalah untuk menghadiri kes mahkamah jenayah lain yang dihadapinya, dan ketika mendapatkan rawatan perubatan.

Azhar berkata prinsip umum ialah semua ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat, dan dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka.

“Tetapi persoalannya sekarang adakah dia boleh hadir. Itu bukan bidang kuasa saya, kerana dia bukan dalam jagaan saya.

“Dia dalam tahanan Jabatan Penjara, jadi terpulang kepada mereka untuk melepaskannya daripada tahanan mereka,” katanya dipetik semasa sesi Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, jika jabatan itu membenarkannya keluar dari penjara untuk menghadiri Parlimen, jabatan itu boleh menetapkan syarat dan peraturan untuk dipatuhi.

Kemudian, MP Shah Alam Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) kemudian menyoal mengapa status Najib sebagai ahli dewan tidak terbatal susulan sabitan kesalahan.

Azhar menjawab: “Hukum sebagaimana adanya, bukan sebagaimana semestinya, dan tidak pula sebagaimana ia sepatutnya”.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

Walau bagaimanapun, jika petisyen untuk pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, di bawah Perkara 48(4)(c).

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitannya.