KUALA LUMPUR, 3 Okt – Walaupun UMNO kelihatan bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun ahli politik veteran, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik meramalkan parti itu tidak akan menang lebih daripada 50 kerusi.

Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, berkata sebagai orang lama dalam politik, beliau berpendapat UMNO ibarat sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki.

Tambah beliau, faktor lain seperti masalah dalaman parti dan kes mahkamah melibatkan pemimpinnya membuatkan UMNO tidak akan menang begitu banyak kerusi dalam PRU15.

“Dengan masalah dalaman, perpecahan dan rahsia bagaimana pemimpinnya menipu rakyat yang didedahkan secara undang-undang dan dalam mahkamah, orang dah muak.

“Pada perhitungan saya, selepas mendengar pandangan daripada sahabat, bacaan-bacaan… ‘mindset’ orang kampung berubah. Bila ada media sekarang menghuraikan bagaimana kelakuan, perangai, watak pemimpin UMNO, saya rasa kali ini mereka (rakyat) akan berhijrah.

“Dulu berhijrah daripada UMNO kepada BERSATU, sekarang daripada kerajaan UMNO kepada kerajaan BERSATU,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, mengulas kerjasama BERSATU dan parti lain, Abdul Rahim berkata kerjasama politik seharusnya dimeterai sebelum pilihan raya namun dakwanya, parti yang berbincang dengan BERSATU hanya ‘sibuk’ dengan jawatan.

Tegasnya, perbincangan yang hanya berkisar kepada jawatan itu membuatkan kerjasama yang ingin dijalinkan sebelum pilihan raya gagal.

Begitupun, beliau tetap optimis BERSATU mampu mencatat keputusan yang baik dalam PRU15.

“Saya yakin kalau Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU go alone (bergerak sendiri), kita boleh ambil risiko ini sebab kita tidak terhutang sangat kepada suasana yang mengecewakan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahim turut memberi bayangan beliau akan membuat kemunculan semula pada PRU15 ini, sekiranya mendapat restu daripada pucuk pimpinan BERSATU, parti yang disertainya sekarang.

“Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,” jawabnya ringkas.

Meskipun sudah beberapa penggal tidak bertanding, beliau tetap yakin dengan peluangnya kerana menurutnya, masih ramai rakyat mengingati jasa beliau terutamanya ketika mentransformasi ekonomi Melaka ketika mentadbir negeri itu.