SHAH ALAM, 3 Okt – Seluruh jentera BERSATU Selangor perlu merapatkan saf dan menunjukkan kesatuan dalam parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sekiranya semangat itu diikuti, maka tidak mustahil BERSATU di dalam gabungan PN akan mengambil alih pemerintahan Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) kali ini.

“Presiden BERSATU pernah menyebut jangkaan beliau ialah Parlimen akan dibubarkan selepas Belanjawan 2023 (7 Oktober) dibentangkan di Parlimen. Tak lama lagi.

“Kita berpegang kepada pandangan itu, maksudnya selepas 8 Oktober ke atas, bila-bila masa sahaja Parlimen bubar. Bagi saya, kita ambil tarikh itu sebagai garis panduan bahawa menjelang tarikh itu kita kena bersedia menghadapi PRU15. Bubar ke tak bubar ke, kita kena bersedia.

“Tengok perhimpunan begini, semangat lain sikit. Ini menunjukkan rakan-rakan di Selangor begitu bersungguh-sungguh nak memastikan bahawa kita akan berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Selangor.

“Sekarang adalah masa untuk kita merapatkan saf, menunjukkan kesatuan dalam parti,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin di Majlis Perasmian Persidangan Bahagian-Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor, pada Ahad.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir, Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata jika sesama ahli parti mahu menunjukkan perbezaan dan bertelegah antara satu sama lain menjelang PRU, segala usaha yang dilakukan parti hanyalah sia-sia.

“Buat program macam-macam seperti menyantuni masyarakat, hantar bakul makanan hingga bencana banjir yang menimpa rakyat pun kita bantu. Tapi masa nak dekat pilihan raya kita bergaduh sesama kita, habis.

“Disiplin dalaman mesti ditanam dan pastikan kekal sehingga tamat PRU15 nanti,” katanya.