JOHOR BAHRU, 4 Okt – Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk diadakan bukanlah keputusan yang tepat dan masa yang sesuai pada ketika ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata sekiranya berlaku, ia jelas menunjukkan Perdana Menteri gagal meletakkan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat, sebaliknya menuruti kehendak partinya.

Sahruddin berkata ini membuktikan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ sekadar retorik semata-mata.

“Pembubaran Parlimen tidak seharusnya berlaku kerana keputusan, desakan, arahan atau isyarat daripada UMNO yang berada dalam Kerajaan pada hari ini.

“Perdana Menteri sewajarnya rasional dalam soal pembubaran Parlimen serta PRU15 selain tidak membuat sebarang keputusan kerana ditekan atau dipengaruhi oleh partinya sendiri.

“Negara sedang berhadapan dengan musim tengkujuh dan banjir. Di Negeri Johor, tiga daerah iaitu Kluang, Pontian dan Kulai telah dilaporkan terjejas dengan banjir yang melibatkan lebih 250 mangsa.

“Tidak mustahil keadaan akan lebih memburuk susulan hujan lebat berikutan Monsun Timur Laut (MTL) diikuti faktor lain seperti masalah saliran dan perparitan serta permukaan muka bumi. Kejadian banjir menghadirkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, kata Sahruddin, BERSATU Johor menyarankan agar Kerajaan terus bersiap siaga bagi menghadapi musim banjir pada penghujung tahun selain mengingatkan Perdana Menteri bahawa pentadbirannya bukanlah dikuasai UMNO secara total.

“Tunjukkanlah kewibawaan dan ketegasan sebagai Perdana Menteri dan elakkan daripada terus berteka-teki yang akhirnya menimbulkan keresahan rakyat secara keseluruhan.

“Perdana Menteri diminta agar tidak mencampuradukkan urusan pentadbiran Kerajaan dengan sebarang keputusan partinya.

“BERSATU Negeri Johor turut merafak sembah memohon KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan nasihat Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU15 diadakan dalam masa terdekat,” katanya.