PUTRAJAYA, 4 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merangka penyelesaian menyeluruh isu kantin sekolah kurang kemampuan menampung kapasiti pelajar terutama di sekolah ramai murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pihaknya menyedari ada antara sekolah berkapasiti padat ini terpaksa menjadualkan lima sesi rehat yang bermula seawal jam 8.30 pagi berikutan kantin sekolah tidak mampu menampung bilangan murid yang datang serentak.

Beliau berkata, pihaknya mendapat rungutan daripada ibu bapa mengenai keadaan itu.

“Jika terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang. Bagi mendapat pandangan kita turun melihat supaya pendekatan dilaksanakan nanti tidak menyebabkan waktu rehat terlalu awal,” katanya selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Radzi berkata, kesesakan berlaku di sekolah yang mengalami peningkatan kepadatan murid sedangkan kantin hanya mampu menampung kapasiti asal jumlah pelajar.

“Sekolah biasa umumnya kapasiti kantin dapat menampung (jumlah pelajar). Perhatian khusus kepada sekolah yang mengalami peningkatan jumlah pelajar tetapi kantin agak kecil sewaktu dibina, supaya tidak berlarutan.

“Ia usaha untuk menambah baik proses di sekolah bagi memudahkan pengoperasian dan meningkat kecekapan serta memudahkan pengurusan sekolah selain memudahkan murid,” katanya.

Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekalan dari rumah, Radzi berkata, ia memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

Mengakui ia pernah dilaksanakan sewaktu penularan COVID-19 sedang memuncak, satu penyelesaian menyeluruh dan kekal diperlukan untuk menangani situasi berkenaan.