KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kementerian Luar (KLN) berharap peruntukan tambahan yang dimohon menerusi Bajet 2023 dapat diluluskan bagi melancarkan lagi proses perwakilan Malaysia membantu rakyat yang menjadi mangsa sindiket atau terbabit dalam kejadian jenayah di luar negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengakui dana sedia ada tidak mencukupi dan terpaksa meminta bantuan daripada pihak tertentu.

“Memang kita tidak mempunyai dana dan dalam hal tertentu kita meminta bantuan daripada pihak berkaitan.

“Namun, saya sangat berharap kerana perkara ini kami timbulkan dalam permohonan Bajet 2023 iaitu belanja untuk perkhidmatan kaunselor di negara tertentu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) sama ada kerajaan menanggung pelbagai kos akibat rakyat Malaysia menjadi jenayah atau dihukum kerana melanggar undang-undang di negara dilawati mereka.

Menjawab soalan asal Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) yang meminta KLN menyatakan bentuk tindakan diambil bagi membantu rakyat Malaysia yang ditipu dan diculik oleh sindiket penipuan di negara luar, Saifuddin berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha termasuk mendapatkan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa negara berkenaan.

Katanya, setiap aduan yang diterima KLN daripada waris mangsa, akan disalurkan terus kepada perwakilan Malaysia di negara berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa sama, proses ini tertakluk kepada prosedur dan undang-undang di negara terbabit yang membabitkan urusan seperti siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang akan mengambil masa.

“Perwakilan Malaysia yang terbabit akan terus giat bekerjasama dengan pihak berkuasa negara tuan rumah untuk mengesan dan menyelamatkan semua mangsa yang masih berada dalam kawalan kumpulan sindiket di negara berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 1 Oktober lalu, seramai 261 mangsa berjaya diselamatkan di empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Daripada jumlah itu, 171 orang sudah dibawa pulang ke Malaysia manakala 90 lagi sedang menunggu proses penghantaran pulang,” katanya.