KUALA LUMPUR, 4 Okt – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya, di samping menyusahkan rakyat.

“Anggota Jemaah Menteri dari PN telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Semua Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin menjelaskan kerajaan mesti fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.

Ini kerana, kata Muhyiddin, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.

“Proses pemulihan negara yang masih perlahan.

“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya.