SEPANG, 4 Okt – Speaker Parlimen Turkiye, Prof Dr Mustafa Sentop, selamat tiba untuk lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari hingga esok.

Pesawat khas membawa Sentop bersama delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada jam 11.50 malam tadi.

Ketibaan mereka disambut Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Sentop kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Ketika lawatannya, beliau dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.

Beliau juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dan mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.