KUALA LUMPUR, 5 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan kaedah Red Notice dikeluarkan oleh Interpol bagi mengesan Jho Low dan sekutunya, adalah lebih baik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kaedah itu menggunakan elemen kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat, melibatkan 195 negara anggota.

Katanya lagi, kaedah ini memerlukan mana-mana 195 negara anggota yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low, bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada Malaysia.

“Setiap maklumat yang diterima mengenai keberadaan Jho Low di negara asing sentiasa diteliti kesahihannya oleh pihak PDRM, termasuklah dengan menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara berkenaan berdasarkan saluran antarabangsa sedia ada, dan bersandarkan kepada hubungan baik serta kerjasama dengan pihak berkuasa negara asing.

“Berkaitan isu tawaran ganjaran kepada pihak yang mempunyai maklumat terkini mengenai Jho Low dan sekutunya, PDRM berpandangan buat masa ini, kaedah melalui Red Notice yang telah dikeluarkan oleh INTERPOL adalah lebih baik kerana menggunakan eleman kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat,” katanya dalam jawapan bertulis yang diterbitkan di Parlimen hari ini.

Hamzah berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH–Kepong) yang mahu mengetahui sekiranya PDRM telah menghubungi dua orang wartawan, Tom Wright dan Bradley Hope, tentang dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di negara China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019.

Selain itu Lip Eng mahu mengetahu mengapa Kerajaan tidak menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low dan sekutunya yang dikehendaki polis.

Menjawab soalan RSN Rayer A/L Rajaji (PH-Jelutong) tentang apakah langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengesan dan menangkap Jho Low, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM tidak pernah berhenti dan kekal komited dalam usaha mengesan dan membawa pulang Jho Low ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan.