SHAH ALAM, 6 Okt – BERSATU Selangor mendedahkan pihaknya pernah dilamar wakil UMNO untuk bekerjasama menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata wakil parti UMNO bertemunya dua bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan gabungan berkenaan.

Menurutnya, jika Perikatan Nasional (PN) memenangi PRU15 dan menakluk Selangor, bakal Menteri Besar negeri tersebut perlu dilantik daripada UMNO.

“Mereka minta saya cakap dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kalau PN berjaya menakluki Selangor, Menteri Besar mesti daripada UMNO.

“(Tapi) Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan sama ada terima atau tidak pinangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan di Glenmarie Hotel and Resort, di sini pada Rabu.