KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan meneruskan penganjuran sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 pada Sabtu ini biarpun timbul spekulasi Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sambutan berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya.

Katanya, walaupun terdapat usaha pihak tertentu yang menularkan bahawa HSN ditangguhkan, KBS tetap akan menganjurkannya kerana menganggap sukan adalah alat penyatuan dan perlu diteruskan.

“KBS tidak berhasrat atau memikirkan langsung untuk menangguhkan sambutan HNS yang akan disambut pada 8 Oktober dan dirasmikan oleh Perdana Menteri di Putrajaya.

“Semua negeri akan mengadakan sambutan pada hari yang sama. Ada usaha yang sedang ditularkan mengenai KBS menangguhkan penganjuran HSN namun itu tidak benar.

“Di KBS, sukan harus diteruskan ketika kita terus berpolemik dengan politik, saya harap HSN akan kembali menyatupadukan rakyat di negara ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022), di sini, hari ini.

HSN 2022 dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 7 hingga 9 Oktober ini dengan perasmiannya dijadualkan pada Sabtu ini di Putrajaya.

Pelbagai program pengisian dirancang bagi sambutan HSN 2022 antaranya Putrajaya Night Marathon HSN 2022, Karnival Sukan Air, Karnival Sukan Mendaki Kebangsaan, Kejohanan e-sukan, Let’s Get Fit, M-Games, Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur dan Kejohanan “Powerboat” ASEAN.

HSN 2022 juga turut membabitkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pembabitan rakyat Malaysia di semua peringkat.

Pada 2021, HSN disambut di seluruh negara secara hibrid susulan pandemik COVID-19 selepas HSN 2020 terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak itu.

Edisi pertama HSN pada 2015 yang menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan jumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.