SHAH ALAM, 6 Okt – Pihak lain diingat tidak “mengambil kredit” pemulihan ekonomi negara dikecapi ketika ini kerana usaha itu sudah dilakukan pada era Perikatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PN Selangor, berkata ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022, susulan permintaan kukuh domestik, disokong pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar berterusan.

“BNM buat pengumuman, pertumbuhan ekonomi suku kedua 2022 sudah catat 8.9%, tahniah PN, orang lain jangan ambil kredit, tak mungkin kita dapat menuai kejayaan ini, kalau kita semai enam bulan yang lalu, nak tanam taugeh pun lama dapat hasil,” kata ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan (Negeri Selangor) di sini pada Rabu.

Azmin berkata, menerusi perancangan dilakukan sejak pentadbiran PN, negara menyaksikan kadar pengangguran menurun kepada 3.7%.

“Sebab inilah dasar yang berani, yang bertanggungjawab, yang diperkenalkan oleh PN pimpinan Muhyiddin, mengarahkan saya di Miti, buka aktiviti perkilangan, hakikatnya kalau saya tutup semua aktiviti industri, hari ini ekonomi Malaysia lumpuh, tak mungkin dapat bangkit.

“Hari ini, Alhamdulilah, Mak Cik Kiah boleh berniaga, kilang sudah boleh buka, mereka sudah dapat pekerjaan, pelaburan meningkat,” katanya sambil memaklumkan jumlah pelabur masuk ke Malaysia pada 2021 sahaja berjumlah RM309 bilion, antara tertinggi ketika ini.

Azmin berkata, di bawah pentadbiran PN, nilai export mencecah RM1.24 trilion sehingga Dis 2021, setanding sasaran dibuat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang mensasarkan nilai eksport RM1.25 trilion, pada 2025.

“Apa maknanya? sasaran RMK12 yang sepatutnya kita catat 2025, kita dapat capai empat tahun lebih awal. Tahniah kepada PN.

“Kita dapat cipta kemakmuran negara, dapat cipta pekerjaan yang baik, kita dapat cipta pelaburan, nilai eksport ditingkat, ini semua adalah dasar-dasar PN,” katanya.