PAGOH, 6 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata tahun lalu PFBM bencana berkenaan yang dikenali sebagai Bantuan Food Bank Banjir telah membantu sebanyak 25,000 mangsa daripada 6,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur.

Beliau berkata bagi berdepan bencana terbabit, pihak kementerian telah bersiap siaga dengan menyimpan barangan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di lima Gudang Food Bank Malaysia yang terletak di Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

“Kita juga telah menyediakan 12 mesin retort (mesin pek makanan) di 10 lokasi di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Selangor Putrajaya, Pahang, Terengganu, Perak, Sarawak dan Sabah.

“Antara makanan retort yang akan disumbangkan seperti kari kambing, ayam sambal, ayam percik, nasi goreng, daging rendang dan pelbagai lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Food Bank Siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, hari ini

Rosol berkata Bantuan Food Bank Banjir yang selepas ini akan dikenali sebagai Bantuan Food Bank Bencana, tidak hanya memfokuskan kepada mangsa banjir semata-mata tetapi bantuan turut akan diberikan kepada apa sahaja bencana.

Sementara itu, berkenaan Food Bank Siswa pula, katanya, pihaknya telah menerima 28 permohonan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk IPT swasta dan politeknik seluruh negara semenjak dilancarkan pada Februari 2019.

Katanya, pelaksanaan Food Bank Siswa ini dilaksanakan dengan konsep ‘Food Pantry’ yang mana makanan kering akan diagihkan kepada pelajar mengikut jadual dan konsep ‘Food Kitchen’ dengan agihan makanan bermasak kepada pelajar.

“Sehingga bulan lalu, seramai 20,951 pelajar IPT telah menerima manfaat melalui program ini dan hari ini seramai 500 pelajar UIAM Cawangan Pagoh menjadi penerima terbaharu,” katanya.