SHAH ALAM, 6 Okt – Tidak semestinya mereka yang ditugaskan menjadi Penyelaras Parlimen akan menjadi calon di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan tersebut bagi memudahkan pengurusan jentera bagi menghadapi PRU15.

Kata Muhyiddin, ini kerana dalam PN semua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Ia adalah keputusan parti, tapi soal rundingan parti kita akan selesaikan.

“Kemungkinan mungkin di situ ketuanya PAS dan calon kita akan tentukan semasa peringkat rundingan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Pimpinan Kawasan (Negeri Selangor), di sini pada Rabu.

Muhyiddin turut memaklumkan PN sedang merangka manifesto bagi lima tahun ke depan dan akan dibentangkan ketika hampir PRU.

Katanya, manifesto itu merangkumi semua bidang, antaranya kesihatan, penyakit dan ekonomi.

“Ini antara kita akan beri pertimbangan selain banyak hal lain. Macam biasa PRU akan sediakan manifesto,” katanya.

Beliau turut berkata, ‘tiada rahsia antara kami’ melibatkan parti bawah PN – merujuk pertemuan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Muafakat Nasional (MN).

“Tiada rahsia antara kami dalam PN. Kalau saya bertemu sesuatu, dapat keputusan sesuatu, saya akan kembali dan melaporkan secara terperinci apa yang sudah saya lakukan…

“Macam terkini ada berbincang dengan pihak yang di sana (UMNO), Hadi maklumkan kepada saya. tak jadi apa-apa pun… semua kita bincang secara terbuka,” katanya.