KUALA LUMPUR, 6 Okt – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara memerlukan “talian hayat” untuk terus bertahan dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menuntut kerajaan mengambil tindakan segera meringankan beban usahawan yang teruk terkesan akibat peningkatan kos mendadak, serta memastikan proses pemulihan ekonomi sekata dapat dicapai.

“Saya risau jika tiada langkah drastik yang diambil kerajaan terutama dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar.

“Apa yang lebih parah, lebih ramai rakyat Malaysia yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Jangan terhantuk baru tengadah, lakukanlah sesuatu dengan segera!” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika menghadiri perbincangan meja bulat yang bertumpukan isu dan cabaran dari aspek pemulihan ekonomi negara bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Menurut Muhyiddin, DPMM meluahkan kebimbangan terhadap masalah aliran tunai didepani pengusaha PMKS.

“Ini selari dengan saranan yang dibuat MPN supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor-sektor ini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

“Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, DPMM ada mencadangkan supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi budi bicara khususnya berkait denda dan penalti dikenakan kepada usahawan Melayu yang baharu pulih dalam situasi pandemik sebelum itu.

Terdahulu, Muhyiddin menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.

Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan OPR, memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 Sept, menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%, berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.