KUALA LUMPUR, 7 Okt – BERSATU menggesa kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pendirian itu antara perkara yang dirumuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Beliau berkata, BERSATU memutuskan untuk mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Katanya, usaha itu akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin BERSATU yang diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

“Skuad Prihatin BERSATU ini akan turut dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Pahang di Temerloh pada 10 Oktober nanti.

“Kekuatan skuad ini akan dipertingkatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, mesyuarat MPT BERSATU turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).