KUALA LUMPUR, 7 Okt – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wira Dr Rais Hussin yang mengumumkan keluar daripada BERSATU hari ini, bukan salah seorang daripada pengasas BERSATU seperti yang dilaporkan media.

Setiausaha Kerja BERSATU, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya berkata Rais dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dari tahun 2016 hingga 2020, dan tidak lagi aktif dalam BERSATU selepas itu.

“Beliau tidak mempertahankan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam pemilihan parti pada tahun 2020 dan tidak lagi aktif dalam BERSATU selepas itu.

“Saya mengucapkan setinggi–tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan Datuk Wira Dr Rais Hussin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan Rais adalah antara pengasas BERSATU pada 2016, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan, Rais berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada BERSATU semalam.

Pengunduran itu, katanya, kerana beliau tidak lagi aktif di dalam parti sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

“Walaupun saya bukan lagi ahli BERSATU, saya akan giat meneruskan perjuangan saya untuk Malaysia yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras, iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah,” katanya.