SHAH ALAM, 7 Okt – Pendirian Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Itu (menarik sokongan kepada Perdana Menteri) bab lain. Ini bab pilihan raya,” katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi BERSATU di sini, pada Khamis.

Beliau ditanya sama ada surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini, bererti PN menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

Mengulas mengenai surat berkenaan, Hamzah memaklumkan, pendirian itu dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar.

“Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana kita mengikut keputusan parti,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua 12 menteri daripada PAS dan BERSATU mewakili PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju jika PRU-15 dilaksanakan tahun ini.

Anggota Kabinet PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini atas faktor musim tengkujuh yang diramalkan berisiko mencetus bencana banjir besar hujung tahun ini, selain faktor pemulihan ekonomi yang memerlukan tumpuan penuh kerajaan.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan PAS itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.