TANGKAK, 8 Okt – Perdana Menteri perlu memberi ketetapan tarikh sebenar untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya semua pihak mendapat gambaran jelas dalam keadaan negara berdepan pelbagai ketidaktentuan ketika ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya membuat pengumuman tarikh PRU15 sama ada akan diadakan dalam masa terdekat atau ditangguhkan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, Perdana Menteri tidak perlu mendengar nasihat daripada ‘Top 5’ UMNO yang mahukan PRU15 segera diadakan kerana mereka bukan daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu buat keputusan (tetapkan tarikh PRU15). Sebaik mungkin bagi ketepatan, Perdana Menteri boleh beritahu tidak adakan PRU sehingga tak lebih awal dari Mac tahun depan, boleh tak buat begitu, maknanya boleh buat, rakyat akan kata Perdana Menteri faham situasi buruk.

“Selepas banjir bubar Parlimen antara bulan April, Mei atau Jun, kan molek begitu, ada lagi masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Bahagian BERSATU Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Ketua Bahagian BERSATU Pagoh berkata, ketika ini tidak diketahui sama ada Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen selepas Ismail Sabri mengadap baginda pada Khamis.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, PN kekal dengan pendirian tidak mahu PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting dan utama ketika ini.

Tambahnya, penggal pilihan raya lalu masih belum tamat dan berbaki beberapa bulan lagi.

“Perkara kedua adalah soal banjir. Ada orang yang sinikal dengan kenyataan saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kata ada ke banjir?

“Di Johor Bahru sudah banjir, kawasan Datuk Seri Ahmad Maslan pun dah banjir (Pontian), jadi jangan nak perli tak tentu arah. Itu realitinya jadi itu isu penting,” katanya.

Menurutnya, semua pihak sudah tahu banjir akan berlaku setiap tahun dan situasi banjir kebelakangan ini amat buruk dengan banyak kerosakan harta benda serta mangsa yang terkorban.

“Takkan kita nak abaikan perkara itu. Bayangkan ada PRU, ada hujan lebat, hari nak mengundi orang tak boleh keluar mengundi, padahal itu hak mereka.

“Mereka mahu tunai tanggungjawab, nak angkut (pengundi) pakai kenderaan biasa tak boleh, naik motosikal, motosikal hanyut, naik bot, bot hanyut, nak pakai bomba, bomba tak cukup,” ujar beliau.

Tambah beliau, PRU15 juga tidak sesuai diadakan ketika ini kerana terdapat tiga negeri pembangkang yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, keadaan tersebut akan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menanggung kos pilihan raya negeri sebanyak RM2 bilion.