KOTA KINABALU, 9 Okt – Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menyifatkan semua 25 kerusi Parlimen di negeri ini adalah ‘kerusi panas’ bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengakui kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya selain Parlimen Sepanggar antara menjadi rebutan parti lain.

“Saya ingat bukan saja di Sepanggar tetapi di seluruh kawasan Parlimen di 25 Bahagian semuanya ‘hot seat’. Semua orang menawarkan diri menjadi calon.

“Kadang-kadang dalam satu parti itu bukan seorang saja malah dua atau tiga orang mengemukakan diri untuk menjadi calon dan sibuk bekerja, itu perkara biasa.

“Bukan lagi rahsia orang mahu menjadi calon (Parlimen Beaufort), menarik kan. Kalau kita lihat ahli Parlimennya sibuk bekerja, boleh membawa macam-macam, akhirnya semua orang suka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada Sepanggar, di Kolombong, pada Ahad.

Bercakap mengenai calon daripada Srikandi, beliau memaklumkan pihaknya sudah menghantar lima senarai nama calon wanita kepada pucuk pimpinan termasuk Parlimen Beaufort.

“Seperti mana kita sebutkan dulu, kita telah mengemukakan senarai nama-nama calon kepada pucuk pimpinan dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan berapa ramai dan siapa yang akan menjadi calon serta di mana mereka akan bertanding.

“Kita hantar nama lima Parlimen termasuk di Beaufort, namun itu semua keputusan pucuk pimpinan tetapi dari segi mempertahankan, tidak semestinya kita menjadi calon untuk mempertahankan.

“Kita mempertahankan atas dasar parti, bila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding dan sudah menentukan calonnya siapa, kita akan memberikan sokongan untuk memastikan calon,” katanya.