PUTRAJAYA, 9 Okt – Peningkatan peruntukan sebanyak 26.46 peratus atau RM3.4 bilion yang diterima oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Bajet 2023 yang dibentangkan kelmarin, menjadikannya jumlah paling tinggi pernah diterima oleh kementerian berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga golongan yang paling terkesan dan memerlukan terutamanya ketika ekonomi yang tidak menentu.

Daripada jumlah yang diterima itu, beliau berkata, sebanyak RM3.1 bilion sebagai Perbelanjaan Mengurus manakala RM195 juta pula sebagai Perbelanjaan Pembangunan.

“Bajet 2023 yang dibentangkan itu menunjukkan komitmen kerajaan yang jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia khususnya golongan sasar di bawah KPWKM.

“KPWKM bersetuju dan menyokong pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ yang diterapkan di dalam Bajet 2023 bagi memastikan Keluarga Malaysia Makmur Bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Rina berkata pembentangan kali ini turut mengangkat kepentingan mengarus perdanakan gender.

“Penubuhan Gender Focal Team (GFT), penguatkuasaan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) dan pengecualian cukai bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah antara bukti komitmen tinggi kerajaan untuk mencapai kesaksamaan gender melalui pemerkasaan wanita

“RUU AGS 2021 yang diluluskan di Parlimen akan dilaksanakan dengan penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual dan pelaksanaan program advokasi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tahun 2023,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut memperkenalkan insentif pengecualian cukai buat wanita yang kembali bekerja mulai tahun 2023 hingga 2028.

“Selain itu kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM11 juta bagi penyediaan subsidi ujian mamogram dan saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA.

“Saya pasti peruntukan ini akan dapat membantu kaum wanita yang kurang berkemampuan yangsecara langsung meningkatkan pengesanan awal kanser payudara dan kanser serviks,” katanya.

Rina turut memaklumkan bahawa Bajet 2023 itu sangat mesra orang kelainan upaya (OKU) dengan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion kepada golongan berkenaan.

“Dengan peruntukan sebanyak RM1.2 billion itu ia mampu menjaga kepentingan dan kebajikan golongan ini yang membabitkan elaun pekerja OKU, bantuan OKU tidak bekerja dan insentif penjagaan pesakit kronik.

“Dalam meningkatkan taraf ekonomi bagi golongan OKU, kerajaan turut memberi pengecualian bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan dengan memperkenalkan Skim 1 OKU, 1 Perniagaan.

“Pada masa yang sama sebanyak RM5 juta diberi bagi penubuhan 50 Taska OKU baharu berbanding 13 TASKA OKU sedia ada.

“Pusat Panggilan Mesra OKU yang menggunakan kaedah panggilan video lengkap dengan jurubahasa isyarat juga akan dilaksanakan secara perintis bagi meningkatkan akses golongan OKU kepada perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Katanya, kerajaan turut menyediakan insentif tambahan kepada majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU dan wanita yang kembali bekerja iaitu sebanyak RM600 hingga RM750 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

“Malah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan Keluarga Malaysia khususnya buat ibu bapa dan kanak-kanak turut ditonjolkan menerusi pelepasan cukai sebanyak RM3,000 ke atas bayaran yuran taska berdaftar.

“Sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan oleh kerajaan bagi penubuhan pusat transit Anjung Sinar khusus buat kanak-kanak lepasan institusi JKM dengan kerjasama GLC yang akan membantu mendapatkan peluang pekerjaan buat mereka.

“Selain menjaga kebajikan anak-anak di institusi di bawah JKM, kerajaan juga memberi pelepasan cukai tambahan kepada majikan yang mengambil anak-anak lepasan institusi JKM bekerja,” katanya.

Rina berkata, kerajaan juga tidak melupakan individu yang berdepan dengan masaah mental dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi memperkukuhkan perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

“Kerajaan juga menaikkan peruntukan bagi bantuan bulanan kebajikan daripada RM1.8 billion kepada RM2.5 bilion bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu dengan peluasan syarat permohonan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan 2019.

“Sejumlah RM1 bilion diperuntukan untuk kebajikan warga emas dengan peningkatan ketara berbanding 580 juta pada tahun 2020,” katanya.