KUANTAN, 9 Okt – Peruntukan RM5 juta melalui Bajet 2023 bagi program diplomasi bahasa dan kebudayaan yang merupakan elemen baharu bawah Kementerian Luar Negeri, disifatkan sebagai ‘dana pemula’ bagi memperluaskan bahasa serta kebudayaan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menerusi bajet yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri menerima peruntukan sebanyak RM920 juta, meningkat berbanding RM868 juta sebelum ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata peruntukan terbabit membolehkan program diplomasi bahasa dan kebudayaan dilaksanakan secara holistik serta komprehensif, bagi berkongsi ‘pengalaman Malaysia’ dengan dunia luar.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada pelaksanaan program sulung Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan Malaysia di Berlin serta Frankfurt, Jerman, dari 28 September hingga 1 Oktober lalu yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak.

“Diplomasi bahasa dan budaya bukan hanya membabitkan seni persembahan tetapi juga meliputi falsafah, pemikiran, seni budaya dan kreativiti. Misalnya di Jerman, kita ada syarahan dan persidangan meja bulat, selain festival makanan serta persembahan kebudayaan.

“Selepas ini, kita akan memulakan (program diplomasi bahasa dan kebudayaan) dengan lebih sistematik, iaitu melalui kelas Bahasa Malaysia yang boleh diadakan di pejabat perwakilan atau universiti atau lokasi lain yang sesuai,” katanya pada sidang media, di sini, pada Sabtu.

Saifuddin berkata, program berkenaan juga membabitkan siri syarahan oleh tokoh akademik, masyarakat negara, sidang meja bulat serta pertunjukan seni meliputi tarian, muzik, demonstrasi makanan, pameran tekstil, pakaian, tayangan filem dan sebagainya.

Bagi memperkemas program yang bakal dilaksanakan, katanya, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi, manakala kerjasama kerajaan negeri turut dialu-alukan.

Saifuddin berkata, ia juga akan dianggotai tokoh seni budaya dan beberapa wakil daripada rakyat Malaysia di luar negara yang aktif menganjurkan program bahasa serta kebudayaan di negara mereka menetap, bagi membolehkan kementerian memberi sokongan sewajarnya.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada usaha Awang memulakan kelas Bahasa Malaysia di China yang menyaksikan 15 universiti negara itu kini mengajar bahasa berkenaan, dan Rosita Rahman-Heilek yang aktif menganjurkan festival makanan di Frankfurt, Jerman.

Katanya, aspek diplomasi dan kebudayaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dimulakan secara rasmi oleh negara lain seperti Indonesia di mana kini terdapat lebih 50 bandar raya di dunia mempunyai kelas Bahasa Indonesia, selain Korea Selatan yang kini terkenal dengan budaya K-pop.