KUANTAN, 9 Okt – Skuad Bencana BERSATU Indera Mahkota dilancarkan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di musim tengkujuh ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata skuad tersebut akan bekerjasama erat dengan pasukan penyelamat di lokasi yang terjejas serta Pusat Pemindahan Sementara yang terdiri daripada pasukan penyelamat, pengurusan, penyelenggaraan dan kebajikan.

Saifuddin berkata skuad bencana itu juga giat merekrut sukarelawan yang terdiri daripada warga Indera Mahkota sendiri seterusnya memberikan latihan menyelamat serta pengurusan bencana bagi menghadapi sebarang kemungkinan situasi yang mendatang.

“Kepakaran sukarelawan yang terlibat juga akan dikenal pasti agar kemampuan skuad tersebut dapat dioptimakan sepanjang tempoh krisis tersebut.

“BERSATU Indera Mahkota akan terus komited dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat dan penduduk setempat tidak kira warna kulit, bangsa dan agama.

“Semoga usaha dan pengorbanan semua ahli termasuk sukarelawan yang terlibat terutamanya dalam persiapan menghadapi bencana ini akan dapat mengurangkan beban golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Indera Mahkota termasuk persidangan Sayap Armada dan Srikandi Bahagian Indera Mahkota, di sini pada Sabtu.

Antara yang dibincangkan adalah isu-isu rakyat termasuk penyelarasan skuad banjir selain membuat persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk pelantikan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).