KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Faiz Na’aman menegaskan Sabah tidak harus menjadi bahan politik negara jiran.

Beliau berkata kedudukan negeri yang diingiinkan kesultanan Sulu itu tidak lari dari kontroversi diplomatik apabila awalnya Filipina tidak mengiktiraf penyertaan Sabah ke dalam Malaysia secara referendum.

“Setelah berdekad Sabah menyertai pembentukan Malaysia yang diiktiraf oleh hampir semua negara di dunia ini, adalah wajar keabsahan “wilayah” tersebut disimenkan secara muktamad tanpa kompromi.

“Jangan sesekali pula pihak berkuasa negara leka akan sebarang aduan atau laporan dari rakyat mungkin terdapat anasir-anasir subversif dari luar yang telah menyelusup masuk dan bermastautin di negara ini khususnya di Sabah sebagai “sleeping agent” yang bagaikan bom jangka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Faiz, kerajaan Malaysia disarankan meneruskan usaha Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE) bagi mengelak senario tidak diingini berlaku.

“Dalam situasi percaturan geopolitik dunia yang memanas terutama di Laut China Selatan, serta ancaman militan dan jenayah dari para penceroboh sempadan perairan Sabah.

“Keperluan untuk meneruskan ESSZONE oleh pihak Malaysia masih wujud,” katanya.

Selain itu, Faiz berkata tampuk pemerintahan Filipina kini mempunyai sejarah hitam dalam meraih kekayaan secara halus dan berpotensi mengancam kedudukan Sabah.

“Presiden Filipina sekarang adalah anak kepada diktator negara tersebut sewaktu zaman Perang Dingin dahulu yang dicop sebagai kleptokrat oleh warga dunia.

“Seperti zaman ayahnya, antara cara untuk kerajaan Filipina yang korup mengalih perhatian rakyatnya dari belenggu kemiskinan tegar serta ketidakadilan sosial dan ekonomi, ialah dengan menyuburkan kembali sentimen Sabah adalah milik mereka.

“Diperparahkan lagi dengan usaha tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah yang turut dibantu proksi-proksi mereka di Barat melalui sistem perundangan antarabangsa,” tegasnya.