KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kesilapan dilakukan sesetengah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak beberapa tahun kebelakangan menyebabkan kedudukan Malaysia pada mata dunia terjejas.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia sebelum ini terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pembangunan fizikalnya sahaja, tetapi juga dari aspek pembangunan manusia, sosial dan ekonomi.

“Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kesilapan beberapa pemimpin dari parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan kedudukan Malaysia merosot sehingga menjejaskan imej baik selama ini.

“Lebih mendukacitakan, negara juga semakin rosak sehingga ke tahap memalukan kerana perbuatan tidak amanah, rasuah, tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin.

“Tindak-tanduk mereka juga menyebabkan kesusahan kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata disebabkan itu keberadaan BERSATU dalam kancah politik negara adalah dengan satu matlamat besar iaitu meletakkan negara ke satu tahap yang lebih mulia dan lebih dihormati.

Presiden BERSATU itu berkata penubuhan BERSATU juga bertujuan mengembalikan semula kedudukan negara ke tahap yang lebih baik dan rakyat dapat menikmati kekayaan ekonomi negara dengan saksama.

“Saya percaya BERSATU dan Perikatan Nasional dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat dan negara ini sebagaimana dibuktikan ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang keperluan memilih BERSATU dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya akan datang bagi mengelakkan musibah yang lebih dasyat berlaku ke atas negara ini,” katanya.

Muhyiddin mengajak rakyat berfikir dan membayangkan sekiranya UMNO dan BN berkuasa semula, dengan segala perangai lama iaitu rasuah, kleptokrasi, salah guna kuasa, dan penyelewengan akan berulang.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parti agar lebih agresif dalam gerak kerja parti terutama dalam menambah bilangan ahli seramai mungkin selain mempersiapkan diri dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi.