KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kerajaan Malaysia dan Jepun bersetuju menaikkan taraf hubungan daripada Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Komprehensif Strategik.

Menterti Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata bagi menyelaras penaikan taraf hubungan ini, Malaysia sudah memulakan perbincangan pada peringkat pegawai dengan mengenal pasti bidang kerjasama untuk manfaat kedua-dua negara.

“Kami bersetuju bidang kerjasama baharu atau dinaik taraf ini perlu mengambil kira kepentingan bersama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan, keamanan dan kestabilan serta pembangunan mampan terutamanya ketika Malaysia dan Jepun masih dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.

“Kedua-dua negara bersepakat untuk mesyuarat dua hala antara pegawai kanan Kementerian Luar masing-masing diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan bidang kerjasama dua hala sedia ada dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu dengan mengambil kira perkembangan keselamatan serantau serta antarabangsa.

“Ini termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi digital, pendidikan, pembangunan sumber manusia, tenaga bersih dan baharu serta pelancongan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi di sini, hari ini.

Hayashi kini dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Malaysia dan Jepun menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik pada 2015 ketika Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida melawat Malaysia atas kapasiti sebagai Menteri Luar ketika itu.

Saifuddin berkata, kedua-dua negara turut menzahirkan penghargaan atas komitmen ditunjukkan negara masing-masing dalam membantu proses penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.

“Hasrat menubuhkan kampus ini bagi memberi lebih pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan Jepun kepada pelajar Malaysia.

“Jadi, kedua-dua negara meletakkan harapan tinggi dalam penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba ini supaya dapat direalisasikan mengikut sasaran iaitu pada 2024,” katanya.

Berhubung isu serantau dan antarabangsa, Saifuddin berkata, Malaysia dan Jepun amat prihatin terhadap perkembangan di Myanmar.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju meneruskan kerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik kepada situasi di Myanmar, sama ada kerjasama dua hala Malaysia-Jepun atau kerjasama dalam rangka ASEAN.

Sementara itu, Hayashi berkata, Jepun ingin mengeratkan lagi kerjasama dengan Malaysia untuk merealisasikan prinsip Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dalam menangani isu geopolitik yang melanda dunia hari ini.

Katanya, program pertukaran pelajar dan profesional antara kedua-dua negara juga akan terus dipergiat susulan kelonggaran prosedur kawalan sempadan oleh Jepun yang bakal bermula 11 Oktober ini.

Menjelang ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Jepun-ASEAN pada tahun depan, Hayashi turut menyatakan kesediaan Jepun mengaktifkan semula hubungan dua hala secara bersemuka dan terus memperluas lagi hubungan baik dengan Malaysia.