SANDAKAN, 9 Okt – Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah dijenamakan semula sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di sini hari ini.

“Mesyuarat Kabinet negeri pada 5 Oktober lalu bersetuju untuk menjenamakan semula Pejabat Tugas-Tugas Khas. Kementerian ini akan menyelaraskan hal ehwal pendidikan dan agama Islam di negeri ini,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Arif merakamkan penghargaan dan terima kasih atas pengiktirafan status kementerian kepada pejabat berkenaan, yang hal ehwal pendidikan dan agama Islam di negeri ini merupakan teras modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Diharap kami (kementerian baharu) dapat menggembleng tenaga dan menjadikan kementerian ini antara kementerian yang terus berperanan,” katanya.

Mohd Arifin turut memberitahu kerajaan negeri mempunyai lebih 10 inisiatif pendidikan yang dilaksanakan sejak tahun lepas dengan peruntukan lebih RM35 juta.

“Insya-Allah, kami (kementerian baharu) akan memohon pada tahun ini peruntukan tambahan untuk mengisi keperluan untuk inisiatif baharu yang akan diumumkan (dalam bulan ini) oleh Ketua Menteri daripada sudut pendidikan,” katanya.

Menurut Mohd Arifin antara inisiatif baharu itu ialah penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah (Semesta) di seluruh negara melibatkan siswa Sabah bagi memudahkan pengumpulan maklumat mengenai hal ehwal siswa Sabah di institusi pengajian tempatan di seluruh negara, termasuk mendengar keluhan dan cadangan siswa berkenaan.