KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pembahagian kerusi antara parti serta pelantikan jawatankuasa perunding daripada parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai tidak lama lagi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan perkara itu antara yang penting disegerakan supaya persiapan dapat dibuat awal di samping semua pihak mengetahui tempat dan kerusi yang akan ditandingi.

“Saya diberi taklimat mengenai persiapan PN di peringkat negeri dan saya rasa gembira serta berpuas hati apabila diberitahu PN Perak sudah memulakan gerak kerja lebih awal bagi menghadapi PRU15.

“Ini bermakna tahap kesiapsiagaan di negeri ini sudah hampir mencapai 100 peratus.

“Dari segi struktur jentera parti, kita bersetuju untuk menggunakan PN dalam hal-hal penyelarasan antara parti bertujuan untuk mengelakkan pembaziran sumber yang ada dan terhad,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, turut dibincangkan adalah mengenai manifesto di peringkat nasional selain membuka ruang sekiranya pemimpin di peringkat negeri mahu menyediakan manifesto tambahan sebagai tawaran untuk negeri masing-masing.

“Saya juga dimaklumkan gerak kerja termasuk Jelajah Prihatin sudah bergerak ke kawasan-kawasan tumpuan yang akan diberi lebih perhatian.

“Saya berharap segala perancangan gerak kerja yang sudah berjalan ini dapat diperhebatkan lagi menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya.