IPOH, 9 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan mengekalkan penyandang kerusi yang berprestasi terbaik sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan dinilai apabila tiba pilihan raya kelak.

“Kita akan menilai apabila sampai masa pilihan raya sama ada penyandang itu memang penyandang yang terbaik dan boleh mempertahankan kerusi.

“Jadi, pastinya itu (kerusi penyandang) kita akan pertahankan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Perak di Pejabat PN Perak di Pusat Perniagaan Simee di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PN Perak merangkap Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita ada kemungkinan calon bertanding di tempat yang sama.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, bagaimanapun sebarang kemungkinan perubahan akan dinilai oleh kepemimpinan tertinggi PN.

“Tetapi kemungkinan di satu dua tempat di mana perlu ada perubahan, ia akan dinilai kepemimpinan tertinggi PN. Itu kita akan teliti dan buat keputusan kemudian. Prinsipnya ialah soal kebolehmenangan calon,” katanya.

Beliau berkata, peringkat PN Pusat akan menerima sekiranya ada cadangan tambahan dari PN peringkat negeri untuk dimasukkan dalam manifesto PN.

“Tadi kita juga berbincang soal manifesto, di peringkat nasional kita sudah memulakan gerak kerja dan kita juga bersetuju kalau ada cadangan PN di peringkat negeri nak menyediakan satu lagi tambahan yang lebih fokus kepada soal tawaran PN untuk peringkat negeri.

“Maka, mereka boleh menyediakan dan boleh berbincang dengan pihak kepemimpinan Pusat supaya dapat diberikan ‘endorsement’,” katanya.