KOTA BHARU, 9 Okt – Keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh memberi peluang kepada pihak tertentu memanipulasi kiraan undi selain membataskan hak pengundi keluar mengundi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata banyak perkara boleh terjadi ketika cuaca buruk berlaku terutama kertas undi rosak serta peti undi hilang, sekali gus memberi kesempatan pihak tertentu menang.

Malah, katanya, sekiranya berlaku banjir, kemungkinan ramai pengundi tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang diingini apabila tidak dapat pulang, malah ada yang terputus hubungan jalan untuk keluar mengundi.

Lebih teruk lagi, katanya, kebanyakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mungkin akan ditenggelami banjir terutama kawasan yang mudah dilanda bencana itu.

“Kesan daripada ini, bukan saja peratusan mengundi rendah, malah mana-mana parti yang menang sebenarnya tidak dapat mandat sepenuhnya oleh rakyat.

“Akhirnya, selepas PRU15, kerajaan yang ditubuhkan tidak stabil, menyebabkan ramai rakyat yang selayaknya keluar mengundi tidak dapat mengundi akan mengadakan protes.

“Bagi BERSATU, mengadakan PRU15 dalam keadaan ‘huru-hara’ (cuaca buruk) adalah sesuatu yang tidak sihat kerana sudah pasti hak mengundi ramai rakyat tidak dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Kejohanan Golf Jemputan Piala Dato Farid Zawawi, di Kelantan Golf & Country Club, Pengkalan Chepa, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata PRU adalah satu kunci terbesar apabila Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen.

Katanya, Perdana Menteri seharusnya memikirkan masa sesuai untuk mengadakan PRU, bukannya tergopoh-gapah menyebabkan hak memilih rakyat hilang.

“Walaupun isu memanupulasi undi jarang berlaku, tapi risiko cukup tinggi untuk berlaku ketika PRU15 diadakan dalam keadaan banjir, ribut, serta hujan lebat.

“Kita kena ambil kira perkara ini dan BERSATU menolak sekeras-kerasnya untuk mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh,” katanya.