KUALA KANGSAR, 10 Okt – BERSATU tidak pernah menolak usaha perpaduan ummah yang ikhlas yang dibuat parti komponen Perikatan Nasional (PN), PAS, termasuk bekerjasama dengan UMNO demi kesejahteraan negara, kata Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi jangan salahkan Bersatu.. jangan salahkan PAS. Nak salah siapa? Nak salah siapa?… bukan saja tak terima dia (UMNO) tolak kita.

“Sampai saya pun tertolak jatuh daripada jawatan perdana menteri,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi PN pada Majlis Pelancaran PN Perak, di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, malam tadi.

Malah, menurut Muhyiddin, BERSATU sentiasa mendukung usaha perpaduan ummah yang dilakukan PAS, termasuk untuk bekerjasama dengan UMNO, bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amat prihatin tentang masalah rakyat dan negara.

“Saya sentiasa terbuka… saya memaklumkan kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung.

“Bila mana usaha dibuat oleh tuan guru sebagai Presiden PAS untuk mempelopori usaha menyatupadukan antara satu perpaduan ummah… saya sebagai Presiden BERSATU mendukung kerana saya juga berpegang kepada ayat al-Quran supaya berpegang kepada “berpeganglah kamu kepada tali Allah dan jangan sekali-kali kamu bercerai-berai.”

Ini katanya, adalah untuk mewujudkan kesatuan dan perpaduan serta dibincangkan dalam kalangan pemimpin PAS dan BERSATU, beliau sentiasa menyokong langkah yang dilakukan Abdul Hadi.

“Saya sentiasa sokong langkah Presiden PAS berbincang, tidak kira dengan siapa pun. Sebab itu bila dikatakan PAS hendak bertemu dan berbincang dengan UMNO, BERSATU tidak pernah melarangnya kerana langkah itu bermula dengan niat yang baik,” katanya.

Muhyiddin mengimbas semula pada 2020 ketika Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan UMNO dibentuk dan kemudian mengajak BERSATU untuk turut serta.

Menurutnya BERSATU dijemput untuk bersama-sama pada 18 Ogos 2020 apabila menyusul surat rasmi daripada Abdul Hadi dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“BERSATU kemudian berbincang dalam majlis tertinggi dan kami berpendapat kalau itulah niatnya adalah suatu yang baik kita harus memikirkan semasak-masaknya supaya kita juga bersama untuk menyertai Muafakat Nasional.

“Saya nak terangkan ini bukan kerana apa… nak membuktikan bahawa atas niat dan nawaitu yang baik… apa sahaja usaha dibuat oleh sesiapa pun kita (BERSATU) dukung… kita sokong,” katanya.

Beliau berkata malang, selepas itu BERSATU tidak menerima apa-apa khabar berita dan kesediaan daripada UMNO untuk menerima BERSATU menyertai MN.

Bukan itu sahaja, katanya, Perhimpunan Agung UMNO 2020 membuat keputusan untuk menolak BERSATU, sedangkan sejak awal parti itu membuat pelawaan.

“Jadi, jangan salah BERSATU… dan juga jangan salahkan PAS,” katanya.