KOTA KINABALU, 10 Okt – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan pembubaran Parlimen, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata gabungan itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Beliau berkata, parti komponen GRS sebelum ini sudah mencapai kata sepakat untuk berdepan PRU-15, termasuk persetujuan untuk menggunakan lambang yang sama.

“Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS,” katanya dalam kenyataan susulan pembubaran Parlimen, di sini, hari ini.

GRS Sabah merangkumi BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, tiada keperluan untuk membubarkan DUN Sabah pada masa ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempoh DUN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Ismail Sabri turut menasihatkan semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri boleh diadakan serentak dengan PRU-15.

Sementara itu, Hajiji berkata, beliau sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam untuk menangani dan membuat penilaian kerosakan ekoran banjir di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran, semalam.

Beliau juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam untuk bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi keadaan cuaca buruk yang mungkin menyebabkan banjir dan mengingatkan orang ramai di seluruh negeri supaya mengambil langkah berjaga-jaga.