KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

“Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.