KUALA KANGSAR, 10 Okt – Pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah selesai 100 peratus.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jentera dan kekuatan semua parti komponen PN juga sudah diperkukuhkan bagi menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan pada masa terdekat.

“Di Perak jentera dan kekuatan kita sudah diperkukuhkan. Sukacita saya laporkan bahawa perundingan pembahagian kerusi komponen di Perak ini sudah selesai 100 peratus.

“Kita kerja erat macam adik-beradik. Hubungan kita di setiap kawasan Parlimen begitu utuh. Sebenarnya (hubungan erat) sudah terjalin sejak lebih dua tahun lalu,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran PN Perak di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata, beliau bangga apabila Perak menjadi negeri PN pertama di negara ini memiliki jawatankuasa peringkat Parlimen di semua kawasan Parlimen.