KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris membidas tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen hari ini berikutan jangkaan banjir akan melanda bulan depan.

Razali berkata berkata, Ismail terlalu lemah apabila ditekan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan.

“Saya tidak nampak kemampuan beliau untuk mengurus satu perkara agak penting di mana negara berdepan situasi banjir.

“Jadi apa yang diperkatakan selama ini wayang sahaja,” katanya ketika dihubungi Penerangan BERSATU hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

Dalam pada itu, Razali juga membidas tindakan Ismail yang membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang disifatkan sebagai manifesto PRU15.

“Saya juga rasa terkilan strategi beliau bentang Bajet 2023 yang sekadar pembentangan sahaja.

“Perdana menteri sendiri ambil pendekatan menipu rakyat,” katanya.