KUALA LUMPUR, 10 Okt – Calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan melalui proses saringan yang rapi bagi memastikan mereka bersih dan istiqamah.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata jentera pilihan raya dan penerangan BERSATU sudah dipersiap dari awal, malah Skuad Prihatin BERSATU juga sudah dikerah untuk berdepan segala kemungkinan.

“Kita bersedia bukan saja untuk menyantuni rakyat mendepani PRU15, tetapi juga membantu rakyat.

“BERSATU dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

“Berjuanglah kita dalam keberkatan daripada Allah SWT. Bawalah mesej kebenaran kepada rakyat. Ajaklah rakyat menolak kemungkaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wan Saiful mendakwa pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

Dakwanya, pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

“Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.